SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM 1432.
Maal Hijrah merupakan permulaan tahun baru Taqwim Islam. Ia bermula demi memperingati peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi dan mengingatkan kita tentang perubahan. Perubahan dari perkara negatif kepada perkara positif atau dari kurang baik kepada yang lebih baik dan sempurna.
Perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a dari Kota Mekah ke Madinah merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing bagi umat Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.
Kebiasaannya apabila tiba sahaja tahun baru masihi, kita sering memperbaharui azam masing-masing. Apa kata kali ini azam yang sama kita tekadkan lagi semasa ketibaan tahun baru hijrah ini. Malah jika kita tidak pernah langsung berazam selama ini pada tahun baru hijrah, maka bolehlah kita memulakannya sekarang. Azam ini bolehlah lebih ke arah pengisian rohani dan keagamaan. Mungkin kepada mereka yang tidak pernah solat berazam untuk mula bersolat, mereka yang bersolat tetapi tidak cukup lima waktu berazam untuk melengkapkan solat lima waktu dan mereka yang bersolat lima waktu berazam untuk meningkat kualiti solat tersebut. Jadikan motto hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya.