LAMAN UTAMA

07 January, 2011

PERKHIDMATAN TALIAN INTERNET SEKOLAH 2011


Pada hari Khamis 6 Januari 2011 yang lalu, seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, pihak BTPN Perak telah mengadakan mesyuarat permuafakatan bersama JPN (Sektor ICT & Sektor Akademik), TM Bhd., K-Perak dan GiTN. Hasil mesyuarat tersebut adalah seperti berikut :

i. Mesyuarat diperjelaskan maksud `intreme` dalam surat KP(KSU)001/10 yang diistilahkan bahawa pihak KPM boleh menamatkan pada bila-bila masa peruntukan RM600.00 yang diperuntukkan untuk talian internet apabila KPM memutuskan satu talian internet khas untuk sekolah-sekolah KPM seperti sebelum ini.

ii. Pihak sekolah melalui Pengetua atau Guru Besar memang dinyatakan boleh secara terus mendapatkan khidmat dari mana-mana ISP untuk talian internet. Walau bagaimanapun, sekolah berkemungkinan akan menghadapi masalah kerana ISP yang sedia ada memberi khidmat talian beserta dengan syarat perjanjian perkhidmatan selama 2 tahun. Hal ini bakal menyulitkan sekolah kerana surat KP(KSU) menyatakan pemberian peruntukan secara intreme iaitu tanpa mensyaratkan suatu tempoh yang khusus.

ii. Sekiranya pihak sekolah membuat pilihan ISP secara terus, pihak BTPN tidak akan bertanggungjawab dan tiada berkaitan atas segala perihal berkaitan dengannya.

ii. Rumusan dan dapatan mesyuarat permuafakatan akan dimaklumkan kepada Tuan Pengarah JPN Perak untuk kelulusan secara terus atau kelulusan melalui JPICT Negeri Perak. Sekiranya mendapat kelulusan JPN & BTPN akan melaksanakan perkara berikut :
a).`Road show` bersama JPN & ISP yang dilantik akan melaksanakan proses penerimaan talian internet mengikut daerah melalui surat PPD untuk mendapatkan persetujuan semua sekolah secara berkelompok mengikut daerah.
b). ISP yang dilantik akan menyediakan Help Desk serta talian khas untuk sekolah-sekolah dan ISP ditegaskan agar kesulitan seperti sebelum ini tidak seharusnya berlaku lagi pada masa hadapan demi kepentingan P&P murid-murid di sekolah.
c). Perbelanjaan kehadiran dan lain-lain adalah di bawah seliaan ISP tersebut.

Justeru itu, bahawa segala keputusan dan apa juga berkaitan dengan perkara ini adalah di bawah Jabatan Pelajaran Negeri Perak.

06 January, 2011

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2011


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai PBKL merupakan acara tahunan yang dinantikan oleh semua rakyat Malaysia khasnya kerana ketika inilah masanya untuk mencari bahan bacaan yang digemari. Tahun ini PBKL 2011 dengan tema "Buku: Dunia Tanpa Sempadan" akan berlangsung pada :

Tarikh : 22 April hingga 1 Mei 2011

Masa : 10.00 pagi hinga 10.00 malam

Tempat : Putra World Trade Centre

Diharapkan agar semua sekolah kelompok Tanjong Malim khasnya dapat merancang lawatan ke PBKL ini supaya pelajar kita dapat bersama-sama memanfaatkan PBKL yang dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia ini.

PERKHIDMATAN TALIAN INTERNET SEKOLAH 2011

Seperti yang telah kita sedia maklum berkaitan surat KP(KSU)001/10 bertarikh 29 Disember 2010 yang lalu menyatakan perihal talian internet, peruntukan RM600 dan perkara yang berhubungkait dengan talian shoolnet di sekolah-sekolah, pihak BTPN Negeri Perak telah mengambil pendekatan secara permuafakatan untuk bermesyuarat pada 6 Disember 2011 (Khamis) bersama JPN (Sektor ICT), GiTN, TM Bhd. dan K-Perak untuk memperhalusi perkara berikut untuk memudahkan pihak sekolah mendapatkan perkhidmatan talian internet :

i. Term of condition talian internet yang KHAS untuk semua sekolah di negeri Perak.
ii. Bayaran bulanan yang bersesuaian.
iii. Jumlah talian untuk sekolah bersesuaian dengan kapasiti penggunaan, enrolmen sekolah, jumlah makmal/Pusat Akses/PC di sekolah
iv. Service after sale oleh TM kepada sekolah
v. Help Desk TM mengikut daerah
vi. Proses pembayaran yang sesuai bagi OS 23000.

Diharapkan buat masa sekarang pihak sekolah tidak bertindak secara terus dengan menghubungi pihak TM bhd. Kerjasama pihak tuan/puan amat dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

03 January, 2011

PERKHIDMATAN RANGKAIAN INTERNET DI SEKOLAH-SEKOLAH 2011


Dimaklumkan bahawa perkhidmatan talian internet(schollnet) di sekolah yang disediakan oleh pihak GITN telah pun tamat pada 31 Disember 2010 yang lepas. Mengikut surat yang telah dikeluarkan oleh pihak KPM bertarikh 29 Disember 2010, bagi memastikan kelancaran Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) serta Pengurusan dan Pentadbiran (P&T) di sekolah, pihak sekolah bertanggungjawab untuk memilih dan melantik Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) yang sedia ada.

Surat berkaitan telah pun diedarkan ke semua sekolah pada 30 Disember 2010 yang lalu kepada semua sekolah. Diharapkan pihak sekolah dapat memastikan perkhidmatan talian internet di sekolah berfungsi dengan baik.

21 December, 2010

PESTA BUKU KANAK-KANAK 2010

Pesta Buku Kanak-Kanak 2010 akan berlangsung mulai 22 hingga 26 Disember 2010 di Tun Razak Hall 3, PWTC. Pelbagai program dan aktiviti yang menarik telah dirancang sepanjang pesta ini berlangsung. Pihak penerbitan PTS akan memberi diskaun 25% sempena pesta ini. Sekiranya anda ingin mendapatkan Kupon Diskaun 25% ini, sila klik pautan berikut :

http://pts.com.my/index.php/klcbf/form

Untuk maklumat lanjut berkenaan PTS di PBKKKL, tuan puan boleh merujuk ke halaman rasmi PTS sempena PBKKKL di :

http://pts.com.my/index.php/klcbf

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan buku-buku terbaik dan terbaru di pesta ini. Ia bukan sahaja menyediakan buku kanak-kanak sahaja, malahan pelbagai buku turut dipamerkan.
Jangan lupa untuk membawa kupon diskaun untuk mendapatkan potongan 25%.

06 December, 2010

SALAM MAAL HIJRAH


SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM 1432.

Salam Maal Hijrah 1432 kepada semua warga pendidik dan pelajar beragama Islam kelompok Tanjong Malim khususnya. Masa bergerak pantas tanpa mempedulikan kita dan apa yang berlaku di sekeliling kita. Dalam tidak sedar kita telah pun menjengah tahun baru 1432H. Alhamdulillah dengan usia yang dipanjangkanNya kita bersua lagi di tahun baru ini. Diharapkan anda semua tidak terlepas membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Semoga Allah mengurniakan kita nikmat dan kesejahteraan di tahun baru ini.

Maal Hijrah merupakan permulaan tahun baru Taqwim Islam. Ia bermula demi memperingati peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi dan mengingatkan kita tentang perubahan. Perubahan dari perkara negatif kepada perkara positif atau dari kurang baik kepada yang lebih baik dan sempurna.

Perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a dari Kota Mekah ke Madinah merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing bagi umat Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Kebiasaannya apabila tiba sahaja tahun baru masihi, kita sering memperbaharui azam masing-masing. Apa kata kali ini azam yang sama kita tekadkan lagi semasa ketibaan tahun baru hijrah ini. Malah jika kita tidak pernah langsung berazam selama ini pada tahun baru hijrah, maka bolehlah kita memulakannya sekarang. Azam ini bolehlah lebih ke arah pengisian rohani dan keagamaan. Mungkin kepada mereka yang tidak pernah solat berazam untuk mula bersolat, mereka yang bersolat tetapi tidak cukup lima waktu berazam untuk melengkapkan solat lima waktu dan mereka yang bersolat lima waktu berazam untuk meningkat kualiti solat tersebut. Jadikan motto hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya.

02 November, 2010

KEM MEMBACA 1MALAYSIA 2010


Program Kem Membaca 1Malaysia (KM1M) telah dimulakan kali pertama pada 2009 dan diadakan dari 26 Oktober hingga 5 November 2009. Pada tahun ini, KM1M dijadualkan bermula dari 8 hingga 12 November 2010 dan semua sekolah diwajibkan mengambil bahagian.

Arahan melaksanakan program KM1M 2010 ini telah dimaklumkan kepada semua sekolah melalui surat Ruj. Kami : BTPN(PK-UPSP)8871/4/6(01) bertarikh 24 Ogos 2010. Laporan lengkap bertulis dan gambar aktiviti berkaitan program KM1M 2010 hendaklah dihantar ke PKG satu minggu selepas tamat program tersebut. Laporan tersebut perlu mengandungi maklumat berikut :
  • Jumlah guru dan pelajar terlibat
  • Aktiviti yang dilaksanakan
  • Gambar - gambar dalam format JPEG
Tema KM1M 2010 adalah MEMBACA MENJANA PEMIKIRAN 1MALAYSIA. Majlis pelancaran KM1M ini akan diadakan serentak di semua sekolah seluruh negeri pada 8 November 2010. Antara cadangan aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut :

8 November 2010
Majlis Pelancaran Kem Membaca 1Malaysia

9 November 2010
a. 10 minit bersama buku
b. Projek Kitar Semula

10 November 2010
Sesi bercerita & Pertandingan Mewarna

11 November 2010
Jejak Maklumat

12 November 2010
Majlis Penyampaian Hadiah

Diharapkan agar semua sekolah sekitar PKG Tanjong Malim khasnya dapat melaksanakan Program KM1M ini mengikut jadual dengan jayanya.