LAMAN UTAMA

20 August, 2010

SALURAN TAMBAHAN ASTRO ARENA


Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Astro akan menambah satu lagi saluran baru iaitu saluran ASTRO ARENA (801) mulai akhir bulan ini ke sekolah-sekolah kerajaan yang dibekalkan dengan peralatan Kampus Astro di bawah projek Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah (KABKS).

Sebelum ini pihak Astro telah membekalkan 11 saluran iaitu RTM1, RTM2, Astro TVIQ, Astro Ceria, Astro Awani, Bernama TV, History, Disney, National Geographic, Discovery dan Discovery Science. Berikutnya, pada bulan September 2009, pihak Astro telah menambah saluran Astro Xiao Tai Yang dan Animal Planet yang menjadikan jumlah saluran yang dibekalkan kepada 13 saluran.

Saluran Astro Arena ini merupakan saluran sukan Bahasa Melayu yang menyampaikan program sukan tempatan secara langsung selama 700 jam setahun, dengan tambahan ulang tayang 2000 jam yang memberi peluang liputan yang luas kepada sukan tempatan. Ia juga memberi liputan sehingga 56 jam seminggu mengenai atlet Malaysia yang bersaing di peringkat antarabangsa atau mereka yang telah diiktiraf di antara yang terbaik dalam peringkat antarabangsa, khususnya sukan yang diminati oleh rakyat Malaysia.

Matlamat saluran ini dimasukkan ke dalam pakej sekolah ini agar dapat memberi pendedahan dan menarik minat pelajar-pelajar Malaysia dalam industri sukan tempatan. Secara tidak langsung, langkah ini dapat membantu menaikkan industri sukan negara.

Sehubungan dengan itu, dengan penambahan saluran Astro Arena ini, menjadikan jumlah saluran untuk pakej sekolah di bawah projek KABKS berjumlah 14 saluran kesemuanya bermula akhir bulan Ogos 2010, tidak termasuk 1 saluran sementara Astro Tutor TV yang khusus untuk peperiksaan UPSR dari 18 Julai hingga 23 September 2010.

Semoga pihak sekolah dapat memanfaatkan ape yang telah disediakan oleh pihak Astro.